HAKIKATNYA usia gadis manis ini masih muda meskipun bakatnya cukup
besar. Wajah komersial yang mudah buatnya mengecapi populariti bukan
sesuatu yang aneh sebaliknya Elfira Loy layak mendapat apa yang
dimilikinya hari ini selepas penat lelah membuktikannya dan tidak henti
berusaha merealisasikan minatnya.
AKTRES kecik molek yang sedang meningkat naik, Elfira Loy
tidak menafikan populariti dan tawaran lakonannya semakin bertambah
selepas membintangi drama bersiri Qalesya.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy,16, yakin lakonannya
sebagai Qalesya benar-benar menyentuh perasaan penonton sekaligus mudah
menarik mereka untuk terus menonton drama di Astro Oasis (saluran 106)
dan Astro Prima (saluran 105) itu.
Selepas Qalesya, Elfira yang mesra dengan panggilan El ini
terus mengorak langkah dengan muncul dalam lebih 10 buah drama bersiri
dan telefilem seperti Senja Permai, Hati Yang Terpinggir, Syurgamu Ramadan dan Hantu Kum-Kum.
Biarpun dia selesa membawakan watak budak baik, namun tidak bermakna
pelakon kacukan Cina dan Arab ini tidak mampu menerima tawaran berlakon
watak antagonis.
Menerusi telefilem Hantu Kum-Kum, dia melakonkan watak budak gothik yang jahat.
“Dalam sejarah lakonan saya, itu pertama kali saya melakonkan watak
gothik. Saya hanya mempraktiskan seperti yang diarahkan oleh
pengarahnya, Michael Ang dan tiada masalah untuk mengikutinya.
“Ia turut menceritakan bagaimana saya dirasuk,” katanya kepada mStar Online.
Bercerita tentang populariti, El masih menjalani kehidupannya seperti
pelajar biasa lain di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Alam
Damai, Cheras.
Biarpun begitu, dia turut dikenali di kalangan kenalan dari sekolah
lain seperti pelajar dari Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas kerana
mereka selalu bertemu di pusat tuisyen yang sama di Cheras.
Mengenali lebih dekat tentang insan yang mahu serius dalam industri
ini, karakternya selalu berubah-ubah mengikut keadaan dan persekitaran.
“Saya seorang yang garang, kelakar, pendiam dan ‘gila-gila’. Semasa
saya melakonkan watak Qalesya, saya mudah terbawa-bawa watak itu dan
berubah menjadi terlalu baik,” tuturnya.
Selepas ini, El bercita-cita untuk menerima lebih banyak lagi tawaran
yang lebih mencabar. Demi memenuhi kehendak penonton, anak kedua
daripada empat beradik ini akur sekiranya para peminat lebih mahukan dia
berlakon watak baik berbanding jahat.
Dia memulakan karier lakonannya sejak berusia 12 tahun. Selain muncul
di kaca televisyen, El juga terlibat dalam pementasan teater seperti
teater muzikal Ali Baba dan filem Damping Malam arahan Ahmad Idham. Dalam banyak-banyak lakonan, dia paling seronok berlakon dalam drama Waktu Rehat untuk saluran Disney di Astro yang telah disiarkan pada Hari Kemerdekaan baru-baru ini. Tetapi jika diberi pilihan, sudah tentu dia memilih teater berbanding
drama dan filem kerana karier lakonannya bermula dalam bidang teater.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan