TAHUN baru bermula lagi. Masa begitu pantas berlalu meninggalkan kita dengan pelbagai kejayaan dan kekecewaan.
Namun jangan lekas berputus asa kerana setiap perkara yang berlaku perlu dihadapi dengan penuh kesabaran.
Terus kekalkan matlamat serta iltizam untuk memperbaiki kelemahan diri.
Sambutan tahun baru ini perlu menjadi titik tolak untuk kita merangka perancangan masa hadapan yang sememangnya tidak tahu apa kesudahannya.
Pokok pangkalnya, jika kita berusaha untuk ke arah kebaikan maka kesudahannya pasti menjurus kepada kejayaan begitulah sebaliknya jika kita tiada perancangan rapi dan terus membiarkan diri terus leka dan alpa pasti kita menemui kegagalan.
Saidina Umar mengungkapkan kata yang bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini”.
Kita jangan hanya berbangga dilahirkan Islam, menggunakan nama Islam, tetapi tiada menjiwai watak seorang Muslim sejati.
Oleh itu, tahun baru perlu disambut dengan penuh keazaman serta komitmen untuk menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang berkualiti dan mampu menjadi contoh kepada yang lain.
Dalam konteks negara kita yang hidup dalam suasana masyarakat berbilang kaum ini, contohnya, amat penting menekankan agenda perpaduan antara kaum.
Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah bermula dengan membina masyarakat yang berakhlak mulia. Hanya dengan sifat dan akhlak mulia saja mampu menjamin kepada perpaduan.
Hadis yang diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Itulah penting sekali setiap daripada kita menyemai rasa dan sifat yang menonjolkan peribadi mulia supaya dapat membentuk masyarakat yang hebat tamadunnya.
Sementara itu, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik”.
Rasulullah melancarkan seruan dakwah dengan dua keadaan iaitu secara rahsia dan terbuka.
Sejak dari itu bermulalah penentangan hebat yang menyaksikan pelbagai penindasan serta perpecahan antara penduduk Makkah.
Kebangkitan umat Islam di Makkah semakin memuncak sehingga penentangan mereka terhadap golongan kafir Quraisy menjadi-jadi.
Pembesar Quraisy tidak senang duduk melihat kebangkitan itu lalu menanam benih keraguan di hati masyarakat Makkah. Mereka mengaburi mata masyarakat dengan pelbagai ganjaran seperti wanita cantik, harta dan pangkat.
Malah, perkara itu turut ditawarkan kepada Nabi Muhammad sebagai syarat menghentikan gerakan dakwah. Apabila umat Islam memiliki kesungguhan mengubah diri mereka, Allah pasti membantu hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”. (Surah Muhammad ayat 7)
Akhirnya, penghijrahan Rasulullah membuahkan hasil apabila berjaya mengubah perilaku buruk seperti permusuhan kepada persaudaraan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya”. (Surah al-Hasyr ayat 9)
Di Madinah, tugas pertama Nabi Muhammad lakukan adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.
Baginda mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu serta tempat penyatuan hati umat Islam.
Yathrib ditukar kepada nama kepada Madinah al-Munawwarah (bandar bercahaya) serta memeterai piagam Madinah.
Nabi Muhammad juga menjalinkan hubungan antara kabilah serta penduduk tempatan selain merangka kaedah membasmi kemiskinan dan memperkuatkan keselamatan negara.
Penghijrahan utama yang perlu dilakukan adalah menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah.
Jika sebelum ini hati kita penuh bersarang dengan sifat buruk marilah mengambil peluang sempena kedatangan tahun baru ini untuk membersih dan menyucikan hati.
Perunding Motivasi, Human Touch Consultant, Mohd Zawawi Yusoh berkata jika seseorang berazam untuk melakukan perubahan diri ia sudah pun dikira perbuatan baik.
“Namun, keazaman perlu disertakan dengan tindakannya sekali. Setiap perancangan pula hendaklah mempunyai mekanisma yang teliti dan bersedia sepenuh hati untuk berubah.
“Jika hanya berazam dan menyimpan cita-cita untuk berubah namun tidak memulakan langkah, azam itu hanya tinggal angan-angan kosong dan tidak bermakna,” katanya.
Beliau berkata seseorang perlu bersedia melawan kepayahan yang bakal mereka tempuhi dengan tekun dalam usaha memperbaiki kelemahan diri.
“Perubahan yang dilakukan tidak perlu kepada perkara yang besar-besar. Cukup sekadar memperbaiki kelemahan kecil yang sering kita lakukan setiap hari.
“Ramai daripada kita bukannya berazam sebaliknya lebih banyak berangan-angan dengan perkara yang sukar dilaksanakan. Ia tidak lebih sekadar memenuhi ‘soalan rutin’ setiap kali tiba musim tahun baru,” katanya.
Mohd Zawawi berkata penghijrahan diri untuk menjadi lebih baik perlu disemat setiap hari bagi memungkinkan ia mampu dilaksanakan secara beransur-ansur.
“Setiap tahun baru itu bermula daripada hari. Maka setiap hari kita perlu biasakan diri melakukan kebaikan yang lama kelamaan akan menjadi perkara biasa dalam diri kita.
“Apabila satu perkara kebaikan itu dilakukan secara berulang kali ia akan terus kekal dalam diri kita. Solat adalah tanda aras paling sesuai menggambarkan perubahan sifat seseorang.
“Jika sebelum ini sering solat di akhir waktu maka lakukan perubahan menyempurnakannya di awal waktu, dulu sembahyang berseorangan jadi lakukannya secara berjemaah secara berterusan,” katanya.
Berbicara sejarah hijrah Nabi Muhammad dan sahabat lebih 1400 tahun dulu, Mohd Zawawi berkata ketika itu mereka menjalani proses menanam cinta kepada Allah terlebih dahulu.
“Jika diterjemahkan dalam realiti kehidupan, seseorang itu perlu tanam serta suburkan jiwa mereka dengan iman iaitu dengan berzikir, memahami al-Quran selain berjihad.
“Jihad pula kerja keras yang dilakukan dengan penuh amanah, bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan agar ia diterima sebagai amalan soleh supaya beroleh keredaan dan keberkatan daripada Allah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan