Eina Azman

Walaupun usianya masih mentah, Eina Azman kini semakin mendapat perhatian daripada pengarah dan penerbit untuk membintangi filem dan drama. Bagi bakat muda ini, kepercayaan diberikan kepadanya tidak disia-siakan. Malah, dia akan terus memperjuangkan perjalanan seninya sehingga terdaya.

Jika dilihat dari penampilannya yang matang, pasti ramai tidak menyangka personaliti ini masih muda remaja dan baru berusia 17 tahun.

Usia masih mentah bagaimanapun tidak membataskan, Nur Eina Azman atau lebih dikenali sebagai Eina Azman meneruskan perjalanan seninya.

Mungkin namanya belum segah pelakon muda lain seperti Elfira Loy dan Erin Malek, namun dia kini makin agresif mencari tempat dalam dunia hiburan tanah air dengan pelbagai tawaran lakonan drama dan filem.

Mempunyai pakej dan fizikal lengkap, terutama dari segi ketinggian, membuatkan bakat muda ini semakin mendapat perhatian pengarah dan penerbit.


Bagi Iena, pakej pada dirinya adalah kelebihan yang akan diguna-kan dengan sebaik mungkin.

“Namun tidak bermakna saya hanya bergantung kepada pakej yang ada, sebaliknya kualiti dan bakat lakonan juga perlu dititikberatkan supaya ianya akan berjalan seiring.

“Bagi saya kedua-duanya penting dan seseorang pelakon seharusnya tahu menggunakan kelebihan yang ada untuk terus kekal dalam industri lakonan ini,” katanya menutur bicara.

Eina yang pernah membintangi filem Ratu The Movie ini menyatakan, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam bidang lakonan walaupun dia kini sudah dikatakan mempunyai nama dalam industri ini.

“Sebagai seorang pelakon, banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari sehingga saya menjadi seorang aktres versatil dan mampu membawa pelbagai watak dalam lakonan,” katanya.


Bagaikan tuah menyebelahinya, Eina baru sahaja menerima tawaran membintangi filem terbaru, Lola Kapak Api yang bakal memulakan penggambaran Mac ini.

“Ini filem ketiga lakonan saya dan saya bersyukur diberi kepercayaan oleh pengarah dan penerbit untuk membintangi watak utama dalam filem ini.

“Tawaran ini juga membuktikan bakat dan kebolehan saya ada dalam bidang lakonan mula dipandang pengarah dan penerbit,” katanya.

 

Kembang bakat nyanyian

Eina juga berkebolehan menyanyi. Di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Bakat nyanyiannya itu mengalir daripada tubuh ibunya, Amy Roshaida, yang juga seorang penyanyi suatu ketika dulu. “Sebenarnya, Eina memang lebih suka menyanyi dan memang pun pada awal-awalnya bercita-cita hendak menjadi penyanyi. Tapi nampaknya rezeki Eina terlebih dulu dalam bidang lakonan. Namun itu tidak mematahkan hasrat Eina untuk meneruskan cita-cita bergelar artis rakaman. Insya-Allah, selepas habis belajar nanti Eina akan rakamkan single terlebih dulu, sebagai salam pengenalan Eina dalam bidang nyanyian,” katanya dalam nada teruja.

Jangan tidak tahu, Eina juga merupakan anak saudara kepada juru vokal dan penyanyi terkenal, Juliza Adlizan.

Eina berkata, bakat dalam bidang nyanyian yang ada pada dirinya tidak akan disia-siakan begitu sahaja, malah dia telah membuat keputusan untuk bergiat lebih serius dalam bidang tersebut.

“Sekarang saya sedang dalam proses menyempurnakan single pertama berjudul Bahagia Bersamanya hasil ciptaan Adnan Abu Hassan yang berkonsepkan balada.

“Ini merupakan langkah pertama saya dalam bidang nyanyian dan berharap peminat dapat menerimanya dengan baik,” ujarnya.


Sebagai percubaan, menurut Eina, dia memfokuskan kepada genre balada terlebih dahulu dan sekiranya maklum balas yang diterima positif, dia tidak akan teragak-agak untuk mempelbagaikan genre nyanyiannya pada masa akan datang.

“Buat masa ini, saya sedang sibuk memilih lokasi untuk penggambaran klip video single pertama ini yang berkemungkinan dilancarkan Mac ini.

“Sementara usia masih muda, saya mahu mencuba banyak perkara dan akan melakukan yang terbaik tidak kiralah dalam lakonan mahupun nyanyian,” katanya.


Tidak abai pelajaran

Walaupun semakin sibuk dengan komitmennya sebagai pelakon dan penyanyi, Eina tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akhir tahun ini.

Menurutnya, pembahagian masa yang sistematik amat penting supaya semua dirancang tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

“Saya akan mengehadkan masa untuk penggambaran agar tidak berlarutan hingga lewat malam. Pantang ada masa terluang di lokasi penggambaran, saya gunakannya untuk mengulang kaji pelajaran.

“Memandangkan SPM tinggal beberapa bulan saja, Lola Kapak Api merupakan filem terakhir lakonan saya pada tahun ini agar boleh fokus dengan peperiksaan itu,” katanya.