Semua umat Islam faham bahawa yang dimaksud dengan berdosa adalah bila manusia melanggar larangan-larangan Allah SWT dan meninggalkan perintah-perintah Allah yang berkaitan dengan amalan-amalan lahiriah. Sebenarnya dosa dapat kita klasifikasikan kepada beberapa jenis, diantaranya:
1. Dosa-dosa anggota lahir terhadap manusia dan Tuhan
2. Dosa-dosa batin terhadap sesama manusia
3. Dosa-dosa ilmu yang tidak diamalkan
4. Dosa-dosa tidak syukur nikmat
5. Dosa-dosa perjuangan bagi anggota jemaah perjuangan
6. Dosa-dosa tidak kenal Tuhan
7. Dosa kerana melupakan dosa-dosa
Masyarakat umum menganggap bahawa yang dianggap dengan dosa adalah dosa-dosa yang mudah dikesan kerana ianya berkaitan dengan aspek-aspek lahiriah saja seperti menipu, berbohong, mencuri, berzina, makan rasuah, memukul orang yang tidak bersalah, memfitnah, meninggalkan solat, minum arak, tidak berpuasa dan lain-lain.
Ada juga yang lebih halus, namun sangat sedikit jumlahnya. Mereka menganggap dosa juga amalan-amalan batin yang berkaitan dengan manusia lain seperti ego, hasad dengki, pemarah, bakhil dan lain-lain.
Jarang orang yang menganggap dirinya berdosa kepada Tuhan bila dia tidak melaksanakan perintah Allah seperti tidak belajar ilmu fardhu `ain, tidak mendidik anak isteri untuk cinta dan takut kepada Tuhan, tidak pemurah, tidak berkasih sayang, tidak tawaduk, tidak pemaaf, tidak simpati kepada orang yang susah, tidak berakhlak mulia dan sebagainya. Padahal semua itu merupakan dosa-dosa kepada Allah.
Jarang juga orang menganggap dirinya berdosa bila dia tidak mengamalkan ilmu yang pernah dipelajari terutamanya ilmu-ilmu fardhu `ain, ilmu-ilmu baiki diri. Padahal ilmu-ilmu yang kita pelajari ` yang tidak kita amalkan, atau tidak berniat untuk mengamalkannya, itu adalah satu dosa juga.
Allah berfirman dalam Al Quran: “Sungguh besar kemurkaan Allah kepada mereka yang mengatakan (ilmu) tetapi tidak mengamalkannya.” (As-Saff: 3)
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Orang berilmu yang tidak mengamalkan ilmunya, akan diazab Allah 500 tahun lebih dahulu dari penyembah berhala.”
Jadi jelaslah satu dosa yang nyata bagi orang yang tidak mengamalkan ilmunya. Patutnya kita selalu berdoa dan merintih kepada Allah agar kita dilindungi dari ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat dan tidak diamalkan. Kadangkala terjadi pembaziran masa dan tenaga dalam menuntut ilmu. Ilmu-ilmu fardhu ain dan baiki diri tidak sungguh-sungguh dituntut sehingga ilmu fardhu ainnya tidak cukup. Manakala ilmu yang berkaitan dengan kehidupan di dunia seperti matematik, ekonomi, biologi, kimia dan lain-lain walaupun tidak salah mempelajarinya tetapi dipelajari sampai berlebih-lebih.
Ertinya berlaku pembaziran dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pekerjaan di dunia. Padahal membazir adalah kawan syaitan. Inilah yang terjadi di dalam sistem pendidikan di dunia sekarang ini. Ilmu yang diterapkan dalam pekerjaan profesional seorang sarjana maksima hanya 10% dari ilmu-ilmu profesional yang dia pelajari di bangku sekolah atau universiti.
Firman Allah dalam Al Quran: “Dan janganlah kamu membazir. Bahawasanya orang-orang yang membazir itu adalah daripada golongan syaitan dan syaitan itu sangat kufur pada Tuhan. ” (Al Isra: 26- 27)
Ada satu jenis dosa lain yang kurang orang peduli dan ambil perhatian iaitu dosa tidak syukur nikmat atau dosa kufur nikmat. Terjadi salah faham tentang syukur ini. Majoriti masyarakat menganggap bahawa syukur adalah mengucap alhamdulillah ketika mendapat nikmat dari Allah. Padahal syukur tidak cukup dengan sekadar mengucap alhamdulillah, dia mesti dibenarkan oleh hati. Bila mendapat nikmat, hatinya teringat kepada Tuhan yang memberi. Selain itu nikmat itu mesti digunakan di jalan Tuhan.
Bila ketiga-tiga hal ini tidak dapat dilakukan, ertinya dia masih kufur nikmat lagi. Bila mendapat rezeki, menyebut alhamdulillah, tetapi tidak menggunakan wang itu di jalan Tuhan, tidak berkorban fisabilillah, tidak membantu orang miskin, tidak membangun berbagai projek kebaikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Orang ini masih belum bersyukur lagi, padahal dalam Al Quran Allah berfirman yang maksudnya: “Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya. ” (Al Baqarah: 172)
“Jika kamu bersyukur akan Aku tambah nikmat-nikmat-Ku, tetapi jika kamu kufur tunggulah azab-Ku yang amat pedih. “ (Ibrahim: 7)
Orang yang bersyukur selain melakukan ketiga-tiga aspek di atas, dia akan iringi dengan rasa takut kalau-kalau nikmat itu tidak dapat digunakan di jalan Allah dan berniat sungguh-sungguh untuk menggunakan nikmat itu hanya untuk Allah. Bagi para pejuang Islam atau pengikut sebuah jemaah perjuangan kebenaran, lebih-lebih lagi jemaah perjuangan kebenaran yang dijanjikan, ada kewajipan-kewajipan aradhi yang mesti dilaksanakan. Kalau para pejuang Islam lalai atau tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan itu sehingga rosak imej Islam dan jemaah perjuangan itu, maka ia adalah suatu dosa yang besar.
Contohnya, kalau pejuang Islam itu berpakaian selekeh, tidak kemas, tidak menjaga kebersihan diri mahupun kebersihan tempat tinggal, tidak membersihkan rumah tamu, pejabat atau wisma, sehingga masyarakat atau orang bukan Islam memandang rendah terhadap Islam, maka pejuang itu telah berdosa besar. Nampak macam soal kecil, tapi kesannya besar.
Katalah sudah ada orang yang ditugaskan secara rasmi untuk membuat kerja-kerja itu, tetapi kalau ada seorang anggota jemaah yang melihat sampah atau kotoran di persekitaran, kemudian dia biarkan saja, maka kesalahan ini termasuk dosa aradhi perjuangan yang cukup besar. Sebab para tetamu yang datang akan mendapat imej yang kurang baik terhadap jemaah dan Islam. Apalagi kalau sampai ada yang mengkritik secara terbuka sehingga menjatuhkan imej jemaah Islam tersebut.
Sepatutnya para tetamu yang datang ke pejabat atau wisma kita mendapat kesan yang sangat baik tentang Islam dan perjuangan sehingga mereka terdorong untuk lebih bersungguh-sungguh mencari Tuhan.
Contoh lainnya adalah berkorban harta dan tenaga ketika jemaah perjuangan hendak membangunkan sebuah projek kebaikan untuk masyarakat. Maka di waktu itu seluruh anggota sepatutnya berlumba-lumba mengambil peluang untuk berkorban. Sebaliknya jika masing-masing menunggu dan mengharap orang lain saja yang berkorban sehingga akhirnya projek tersebut tergendala, maka ini adalah satu kesalahan atau dosa yang aradhi.
Jenis dosa perjuangan lainnya adalah bila tidak saling berkasih sayang sesama anggota jemaah, tidak tolong-menolong, tidak simpati terhadap kesusahan dan penderitaan kawan. Kalau kita sebagai pemimpin pula, kita kurang peduli atau kurang memperhatikan keperluan dan kebajikan anak-anak buah dari sudut makan minum, tempat tinggal, pendidikan keluarga, persekitaran, pekerjaan, solat, ibadah, akhlak dan lain-lain, itu juga merupakan dosa.
Demikianlah manusia sentiasa terlibat dengan dosa. Ada satu jenis dosa yang lebih besar dari dosa-dosa di atas, tetapi umat Islam secara umum termasuk para ulama dan sarjana Islam kurang begitu memperdulikannya iaitu dosa-dosa batin yang berkaitan dengan Tuhan seperti:
1. Tidak kenal Tuhan
2. Tidak cinta Tuhan
3. Tidak takut Tuhan
4. Tidak merasa kehebatan dan kebesaran Tuhan
5. Tidak bertawakkal kepada Tuhan
6. Tidak merasa Tuhan pemberi rezeki
7. Tidak khusyuk beribadah
8. Tidak yakin dengan Tuhan
9. Tidak ikhlas dengan Tuhan
10. Tidak takut pada ancaman Tuhan
11. Tidak harap pada rahmat Tuhan
12. Tidak redha akan takdir Tuhan
13. Tidak puas dengan pemberian Tuhan
14. Tidak sabar atas ujian Tuhan
15. Tidak syukur atas nikmat Tuhan
16. Tidak terasa di awasi Tuhan
17. Tidak terasa kehebatan Tuhan
18. Tidak rindu dan cinta dengan Tuhan
19. Tidak rindu pada Syurga dan tidak takut pada Neraka
20. Lalai dari mengingat Tuhan dan lain-lain
Padahal Rasulullah SAW bersabda: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah.”
Jadi kewajipan awal dalam kehidupan manusia adalah mengenal Tuhan. Kalau manusia tidak kenal Tuhan, maka akan timbul berbagai jenis dosa lain yang mereka buat sama ada secara sedar ataupun tidak sedar. Bila tidak kenal Tuhan, sudah tentu tidak cinta dan tidak takut Tuhan, padahal Tuhan itu patut dicintai dan ditakuti. Bila tidak cinta Tuhan, maka automatik tidak akan cinta kepada sesama manusia. Hidup manusia akan mementingkan diri, keluarga dan kelompok sendiri. Ini juga adalah dosa. Jadi manusia akan terus menerus berdosa tanpa mereka sedar.
Selain itu, bila manusia tidak kenal Tuhan, maka manusia tidak akan takut pada Tuhan, walaupun mereka tahu bahawa Tuhan patut ditakuti. Akibatnya mereka tidak merasa pengawasan ghaib dari Tuhan sehingga tidak takut untuk membuat maksiat dan kejahatan. Akhirnya lahirlah berbagai kejahatan dalam masyarakat yang dibuat oleh orang-orang yang tidak kenal dan tidak takut Tuhan, sekalipun dia seorang ulama, pakar undang-undang dan penegak undang-undang.
Jadi tidak kenal Tuhan adalah punca atau sumber segala dosa dan permasalahan yang menimpa manusia di dunia. Termasuk dalam dosa-dosa ini adalah tidak sabar dan tidak redha dengan ketentuan Tuhan. Bila diuji manusia tidak sabar, berkeluh kesah bahkan ada yang komplen dan menyalahkan Tuhan, merasa Tuhan tidak patut memberinya ujian yang begitu berat. Tidak redha dengan ketentuan, ketika Tuhan uji dengan kesusahan dan kepahitan hidup, mereka cemas, gelisah, hilang pertimbangan dan bertindak di luar syariat.
Sebaliknya ketika Tuhan uji dengan kesenangan dan kemewahan hidup, mereka lupa daratan, hilang pertimbangan serta mudah terjebak dalam tipuan nafsu dan syaitan. Pada hal Maha Suci Tuhan daripada menzalimi hamba-hamba-Nya..Tuhan memberi ujian dengan maksud untuk menghapuskan dosa-dosa hamba-hamba-Nya agar dia tidak diazab di akhirat nanti atau untuk meningkatkan darjat hamba-hamba-Nya jika mereka sabar dengan ujian itu.
Tuhan berjanji akan memberi pahala bighoirihisab (pahala tanpa hisab) kepada mereka yang sabar dengan ujian. Sebaliknya Allah Taala marah kepada orang yang tidak sabar dengan ujian dari-Nya. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah Taala berfirman yang maksudnya:“Barangsiapa tidak redha terhadap takdir yang terjadi dan tidak sabar terhadap bala (cubaan) dari-Ku, maka carilah Tuhan selain Aku.” (Riwayat At Tabrani)
Jangan Ambil Ringan Dosa
Jangan anggap kecil dosa yang kita buat sejak kita baligh, sekalipun ia kecil pada pandangan lahir manusia. Bila dikatakan dosa ertinya Nerakalah balasannya. Dosa walau sebesar habuk pun, kalau Tuhan tidak ampunkan, itu menjadi sebab membawa manusia ke dalam Neraka. Jadi jangan anggap ringan terhadap dosa dengan berkata, “Alah… dosa kecil sebesar habuk.” Kalau kita faham akibatnya, ini akan mengganggu perasaan kita. Dosa ertinya Neraka. Kalau Neraka, kecil atau besar dosa sama saja.
Terhadap dosa besar seperti berzina, minum arak, mencuri dan lain-lain, kebanyakan manusia mudah terasa berdosa. Kalau dia bertaubat dan meminta ampun, maka akan selesai apabila Tuhan ampunkan. Tetapi dosa kecil sebesar habuk, atau dosa-dosa batin seperti yang diuraikan di atas, manusia tidak nampak dan tidak terasa kecuali oleh orang-orang yang sensitif dengan Tuhan saja. Bila tidak terasa, maka dia akan lupakan dosa-dosa itu dan dia tidak akan bertaubat dan meminta ampun kepada Tuhan. Maka sudah menjadi satu dosa lagi. Dosa di atas dosa.
Kadang-kadang manusia sangat mengambil perhatian tentang dosa-dosa lahir yang besar tetapi dengan dosa kecil atau dosa-dosa batin (dosa besar juga) yang tidak nampak dia tidak ambil peduli. Matilah dia dalam keadaan tidak merasa berdosa. Maka matilah dia dalam kemurkaan Allah. Ini yang Tuhan marah. Kerana itu jangan pandang kecil atau lupa-lupakan dosa.
Mari bertaubat atas dosa-dosa
Kalau kita perhatikan betapa banyak dan menggunungnya dosa-dosa yang kita buat sejak baligh yang belum kita taubatkan. Bahkan kebanyakan dosa-dosa itu tidak kita rasakan sebagai dosa sehinggga kita melupakannya. Kadang-kadang ada yang kita sedar sebagai dosa pun tidak kita taubatkan sungguh-sungguh. Melupakan atau meringankan dosa yang pernah kita buat sejak baligh adalah dosa. Akhirnya dosa kita sudah beranak-pinak.
Jelaslah bahawa sejak baligh lagi manusia sentiasa berada dalam dosa yang menjadi hijab antara dirinya dengan Tuhan, sehingga terhijab seluruh rahmat dan kasih sayang-Nya. Bila ini terjadi, apa saja amal ibadah dan kebajikan yang manusia buat, Tuhan tidak pandang dan tidak terima. Bukan itu sahaja, bahkan di Akhirat kelak, Tuhan akan hukum dengan Neraka yang amat dahsyat. Oleh itu wajib setiap hamba Tuhan itu merasa sentiasa berdosa dan bertaubat dengan segera terutamanya apabila melakukan dosa dan kesalahan yang dia sedari.
Taubat ertinya kembali merujuk kepada Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang serta menyerah diri kepada-Nya dengan hati penuh penyesalan yang sungguh-sungguh. Yakni kesal, sedih, dukacita serta rasa tidak patut di atas dosa-dosa yang dilakukan sehingga menangis mengeluarkan air mata. Hati terasa pecah-pecah bila mengingati dosa-dosa yang dilakukan itu. Merayu moga-moga Tuhan ambil perhatian.
Merintih moga-moga Tuhan mendengar. Memohon agar Tuhan yang Maha Pengampun akan mengampunkannya. Meminta agar Tuhan memandang dan memberi dengan penuh kasih sayang. Hati yang pecah-pecah itu menjadikan anggota-anggota lahir (mata, telinga, kepala, kaki, tangan, kemaluan) tunduk dan patuh dengan syariat yang Tuhan telah tetapkan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan-perbuatan derhaka itu.
Taubat tidak cukup hanya dengan mengucapkan istighfar di mulut, tanpa hati merasa bersalah dan berdosa. Kerana tidak semudah itu Tuhan menerima taubat hamba-hamba-Nya sebelum menempuh syarat-syarat yang telah ditetapkan-Nya.
Syarat-syarat taubat terbahagi dua sebagaimana dosa dan pahala terbahagi kepada dua, iaitu:
1. Syarat taubat di atas dosa dan kesalahan dengan Tuhan
2. Syarat taubat di atas dosa dan kesalahan dengan sesama manusia.
Syarat-syarat taubat yang berhubung kait dengan Tuhan ialah:
1. Menyesal sungguh-sungguh di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Yakni terasa kesal, sedih, dukacita, rasa tidak patut kerana melanggar syariat Tuhan. Sekaligus datang perasaan menyerah diri kepada-Nya.
2. Berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perkara-perkara yang menjadi larangan Tuhan itu.
3. Meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa dengan Tuhan baik dosa besar mahupun dosa kecil.
a. Di antara contoh dosa-dosa besar ialah meninggalkan solat, tidak puasa, menenung nasib, minum arak, berzina, judi, rasuah, riba, memfitnah, mengumpat, membunuh.
b. Di antara dosa-dosa kecil ialah tidak menutup aurat, bergaul bebas lelaki dan wanita, melihat aurat yang bukan muhrim, mendengar nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, bercakap lucah, bergurau berlebih-lebihan, berlawak berlebih-lebihan dan membazir.
Kalau selama ini dia terlibat dengan perbuatan yang haram (seperti riba, tidak menutup aurat, minum arak) maka dia terus tinggalkan perbuatan tersebut. Kalau terlibat dengan dosa-dosa meninggalkan perkara-perkara wajib (seperti solat dan puasa), maka dia tidak akan meninggalkannya lagi. Ia terus melaksanakan perkara-perkara yang wajib dengan bersungguh-sungguh dan mengqadak segala perintah wajib yang tertinggal itu.
Tetapi jika dosa dan kesalahan itu terhadap sesama manusia, selain menempuh tiga syarat taubat yang sudah disebut di atas, dia mesti meminta maaf atau minta redha (halal) kepada orang tersebut di atas dosa-dosanya. Dosa-dosa sesama manusia ini sebenarnya terlalu banyak.
Secara ringkasnya, ia boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu:
1. Dosa berkaitan dengan harta seperti hutang yang tidak dibayar, harta yang dicuri, dirampas, ditipu, dibinasakan dan lain-lain. Ini semua mesti minta dihalalkan atau minta maaf pada orang yang bersangkutan, membayar hutang atau membayar ganti rugi.
2. Dosa berkaitan dengan peribadi, seperti pernah memukul, menempeleng, mencubit, merotan, mendera, mengikat dirinya, merantai, menyeksa, mencacatkan anggota badannya, mengurung atau memenjarakan dan lain-lain. Dosa-dosa ini semuanya mesti diminta maaf kepada orang yang berkenaan atau mene¬rima hukuman mengikut ketentuan syariat sekiranya orang itu meminta dikenakan tindakan undang-undang di atas perbuatan kits itu.
3. Dosa yang ada hubungan dengan maruah atau agamanya. Seperti memberi malu di depan khalayak ramai, mengumpat dirinya, menghinakan dia, menuduh dia dengan tuduhan-tuduhan yang tidak benar, memfitnah dan lain-lain kesalahan. Ini mesti diminta maaf atau minta redha.
4. Dosa yang ada hubungan dengan keluarganya, seperti pernah memegang-megang, meraba-raba, mencium anak gadisnya atau menzinai anggota keluarganya atau membunuh ahli keluarganya. Maka hendaklah meminta maaf dan meminta redha dari keluarganya. Kalau mereka tidak redha dan maafkan, mesti sanggup untuk dibalas oleh pihak keluarganya baik dipukul, ditempeleng dan lain-lain mengikut syariat yang disahkan oleh mahkamah.
Semua tuntutan syariat ini mesti dibuat mengikut kaedah-kaedah tadi barulah taubat itu diterima oleh Tuhan. Sungguhpun begitu bukan mudah untuk menunaikan syarat-syarat ini melainkan setelah memiliki hati yang benar-benar ikhlas dan menyerah pada-Nya. Kalau tidak dapat menunaikan syarat-syarat ini, taubat itu tidak diterima. Orang yang egonya tinggi amat berat untuk bertaubat. Lebih-lebih lagi bila dosa yang dilakukan itu dosa sesama manusia.
Begitulah kasih sayangnya Tuhan kepada hamba-hamba-Nya yang berdosa. Masih ada peluang bertaubat untuk mendapat keampunan dari Tuhan dengan menempuh syarat-syarat yang telah disebutkan. Kecuali dosa-dosa syirik, yang tidak dapat keampunan dari Tuhan. Kerana ia telah dinyatakan-Nya di dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa syirik tetapi mengampunkan selain itu.” (An Nisa: 48)
Maknanya selain syirik, orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya akan diampunkan oleh Tuhan. Apabila diampunkan, maka samalah dia seperti orang yang tidak berdosa.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang bertaubat daripada dosa sepertilah orang yang tidak berdosa.”
Firman Allah SWT: “Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu dan membaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Maidah: 39) “Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An Nisa’: 110)
Berdasarkan Hadis dan ayat-ayat Al Quran tadi dapat difahami bahawa wajib bagi setiap orang Islam itu bertaubat daripada dosa-dosanya supaya tidak menjadi hijab antara dia dengan Allah. Setelah bersih daripada dosa, maka hijab pun terangkat. Terhubunglah kembali kasih Allah yang terputus selama ini. Dia memandang hamba-Nya itu dengan pandangan penuh kasih sayang sehingga rahmat-Nya melimpah-ruah. Justeru itu, hiduplah si hamba yang bertaubat itu dengan penuh bahagia di dunia dan mendapat balasan Syurga di Akhirat. Sebab itu Allah meminta dan memujuk hamba-hamba-Nya supaya segera bertaubat.
Firman Allah Taala: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhan-Mu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi…”( Imran : 133)
Berdasarkan ayat ini Tuhan meminta kita bersegera bertaubat dari segala dosa baik yang besar mahupun yang kecil, termasuk juga perbuatan makruh yang dibenci Allah. Kerana mati itu tidak tahu bila masanya. Boleh jadi mengejut, datang tiba-tiba. Setelah bertaubat memohon keampunan Tuhan, Tuhan menyuruh kita segera mengejar Syurga. Yakni dengan cara melakukan amal soleh atau amal kebajikan seperti berjuang, berkhidmat kepada masyarakat, bersedekah, menahan marah, memaafkan kesalahan orang dan sebagainya.
Takutilah Dosa-Dosa Batin
Suatu masa dulu ada seorang lelaki yang pernah melakukan dosa besar. Dia merasa berdosa, menyesali dan menangisi dosanya itu setiap hari selama 20 tahun sehingga matanya rabun dan dadanya terasa pedih kerana terlalu banyak menangis.
Bertaubat seperti ini merupakan satu ibadah yang baik. Takutnya kepada Tuhan itu akan menjadi syafaat bagi dia di dunia dan di akhirat. Ini lebih besar dari solat dan puasa sunat. Sebab tujuan taubatnya tercapai iaitu mendapat rasa hamba. Ini satu anugerah dan Tuhan, sebab bukan mudah untuk mengingati apalagi menyesali dosa-dosa yang pernah kita buat berpuluh tahun yang lalu.
Pada suatu hari Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, “Apakah ada umatmu yang nanti dapat masuk Syurga tanpa hisab?”
Jawab baginda, ” Ada, iaitu orang yang mengenang dosanya lulu dia menangis.”
Ada juga hamba Allah yang terlalu tajam rasa bertuhannya sehingga setiap kali selesai membuat kebaikan menurut ukuran manusia biasa, dia segera bertaubat kerana dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak sempurna. Dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak ikhlas kerana Allah, terselit kepentingan-kepentingan lain atau dia merasa tidak beradab kepada Tuhan yang sentiasa mengawasinya dalam membuat kebaikan itu. Dia terasa yang dia buat itu bukan suatu kebaikan tetapi suatu kederhakaan kepada Tuhan walaupun secara lahirnya ia suatu kebaikan. Hamba seperti ini sentiasa merasakan dirinya berdosa dan ibadah-ibadahnya tidak sempurna. Tanpa anugerah dari Allah, sangat sukar bagi manusia untuk memiliki sifat kehambaan yang halus seperti ini. Sangat sukar untuk mengesannya, ia memerlukan pandangan mata batin, tidak cukup dengan mata lahir dan akal saja
Kadang-kadang suatu amalan nampak baik oleh mata dan akal tetapi kalau diperhalusi dengan hati yang tajam ternyata suatu kejahatan. Contohnya, mengerjakan solat. Mata lahir mengatakan baik, akal pun berkata demikian juga. Tapi kalau kita tanya hati, susah untuk memberi jawapan baik atau tidak baik.
Kalau lepas mengerjakan solat, hati kita rasa senang, rasa selamat dengan solat itu, maka rosaklah ibadah kita itu. Selepas solat dipuji orang, hati pun rasa bangga dan berbunga, habislah semuanya. Itulah yang dimaksudkan ibadah itu menjadi hijab dan dosa. Mana boleh selepas solat kita rasa senang dan tenang. Patutnya kita rasa takut dan cemas sebab solat kita tidak sempurna, ada lalai dan cacat di sepanjang solat. Hati sepatutnya bertanya-tanya, solat aku ini Tuhan terima atau tidak? Tuhan redha atau tidak? Tuhan tidak pandang mata dan akal, tetapi Tuhan pandang hati manusia walaupun ibadah lahir mesti dibuat. Firman Allah Taala: “Hari Qiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan dunia ini) di mana harta dan anak tidak berguna lagi kecuali mereka yang menghadap Allah membawa hati yang selamat.” (Asy Syuara`: 88 – 89)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
Sebenarnya ketika menghadap Tuhan kita sedang menghadap Raja dari segala raja. Sebab itu bagi orang yang betul-betul faham, ketika dia hendak solat dia bimbang dan gelisah takut tidak beradab di hadapan Raja segala raja. Macam raja besar dunia hendak memanggil kita rakyat biasa ke istana, tentu kita ada rasa takut dan cemas, bertanya sana sini tentang tatacara dan sopan-santun menghadap raja. Apa pantang larangnya. Waktu pergi, sebelum menghadap sudah susah hati dan bimbang, waktu sedang menghadap pun susah hati dan bimbang. Selepas menghadap pun susah hati dan bimbang, takut kita sudah tidak beradab dan kurang ajar di hadapan raja. Begitulah rasa hati rakyat jelata yang dipanggil menghadap ke istana raja besar.
Tuhan adalah Raja dari segala raja. Patutnya kita lebih merasakan susah hati dan bimbang ketika menghadap-Nya dibanding dengan menghadap raja besar manusia tadi. Apakah hati kita merasakan ini? Kalau tidak rasa begitu, benarkah kita telah beribadah kepada Tuhan dan menyembah-Nya? Kalau hatinya betul-betul ikut solat atau dengan kata lain dia sangat menghayati solatnya, maka hatinya akan takut, bimbang dan cemas.
Bagi orang yang kenal dan faham Tuhan, maka sebelum mengerjakan solat hatinya sudah gelisah. Orang lain tidak nampak hatinya yang gelisah. Setelah solat dia merasa betapa telah tidak beradabnya dia ketika berhadapan dengan Tuhan yang Maha Besar itu. Sebab itu selepas solat sebelum berdoa mengajukan berbagai permintaan kepada Allah, dia bertaubat dahulu, beristighfar dahulu di atas dosa solatnya yang tidak sempurna. Atau setidak-tidaknya dia rasa bimbang dan cemas. Barulah setelah itu dia berterima kasih kepada Allah yang telah memberinya kekuatan untuk menyembah-Nya dan dengan penuh harap dia berdoa kepada Allah.
Itulah yang dimaksudkan kadang-kadang kita tidak sedar kebaikan yang kita buat berubah menjadi kejahatan. Solat kita yang lalai dan tidak sempurna itu telah membuat kita rasa senang dan selamat, padahal dia membuat kita terhijab dari rahmat Tuhan. Dosa-dosa batin ini sangat halus, susah dikesan dan dirasa. Orang yang secara lahirnya membuat kebaikan tetapi terhijab dari rahmat Tuhan, susah untuk dia bertaubat. Kalau kesalahan yang lahir misalnya minum arak dan berjudi, mudah manusia mengesannya sehingga mereka dapat segera bertaubat. Tetapi kesalahan dan dosa batin sangat susah dikesan apalagi untuk bertaubat.
Cuba kita tanya orang yang solat. Bagaimana solat saudara tadi? Kalau dia kata, “Alhamdulillah ” dengan senang hati dan rasa selamat dengan ibadahnya, tanpa ada rasa berdosa, sebenarnya dia sedang membuat satu dosa batin. Orang dulu walau takut dengan dosa lahir, tetapi mereka lebih takut dengan dosa-dosa batin. Di celah-celah ibadah dan kebaikan ada dosa, ada tidak beradab dengan Tuhan.
Sebab itu ada Hadis yang menyebutkan bahawa seorang hamba menjadi wali Allah bukan kerana faktor solat dia yang banyak, baca Quran yang banyak, tetapi kerana hatinya sangat halus dengan Tuhan. Orang yang beribadah kerana fadhilat, inginkan Syurga atau kerana takutkan Neraka, selalu tertipu. Hati dia rasa senang dan selamat dengan ibadahnya. Tidak risau, bimbang dan cemas apakah ibadahnya diterima Tuhan atau tidak. Ibadah orang-orang yang mengejar fadhilat ini tidak akan memberi kesan dalam kehidupannya sehari-hari. Tidak ada bezanya antara yang orang yang beribadah dengan yang tidak.
Soal rasa dan hati ini sangat sulit dan halus. Para Sahabat secara umum memiliki hati yang tajam. Sayidina Umar bin Khattab r.a. memiliki rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang tinggi sehingga begitu bimbang dengan keselamatan dirinya. Kalau dia berjumpa dengan Abu Huzaifah r.a. yang Allah anugerahkan pandangan batinyang tajam, dia akan bertanya, “Wahai Abu Huzaifah, apakah aku ini orang munafik?”
Pada kesempatan lain ia berkata pada dirinya, “Kalaulah ada penghuni Neraka yang Allah ampunkan dan beri rahmat-Nya kemudian Allah masukkan ke dalam Syurga, aku harap akulah orang terakhir yang Allah keluarkan dari Neraka itu.” Itulah kebimbangan dan kecemasan orang bertaqwa. Mereka tenang dengan dunia, kemiskinan, kesusahan dan lain-lain tetapi sangat sensitif dan cemas dengan dosa-dosa kepada Tuhan. Hati mereka harap dan takut pada Tuhan.
Apa yang dimaksud dengan harap dan takut? Tanda berharap adalah dia berbuat dan tidak putus asa. Dia mengharap rahmat Allah. Tanda takut adalah dia sudah berbuat, tetapi takut dan cemas Tuhan tidak terima amalan dan taubatnya. Jadi harap itu ada asasnya. Berharap di atas perbuatan dan amalannya, dia baik sangka dengan Tuhan. Bila sudah berbuat hatinya bimbang juga, sebab yang kita buat amalan yang lahir. Yang batin kita tidak nampak tapi Tuhan tahu. Mungkin ada kesalahan yang kita tidak sedar. Kita rasa sudah tidak ada masalah.
Di situlah perlu ada takut. Jadi takut di sini ada hubung kait dengan kita merendah diri di hadapan Tuhan. Seolah kita mengaku, Walau aku sudah berbuat tetapi tidak sempurna. Engkau Maha Tahu. Sebab itu aku takut, cemas. Aku sudah berbuat yang lahir, tetapi ada yang batin. Aku tidak tahu yang batin ini.
Adanya perasaan takut ini menunjukkan ada benda lain dalam hatinya iaitu rendah diri dan tawaduk. Kalau tidak tawaduk, tidak akan lahir rasa takut Tuhan tidak terima. Sebaliknya dia akan rasa yakin seluruh amalannya diterima Tuhan. Dia akan rasa selamat. Rasa ini menafikan rasa kehambaan. Lebih jauh dari itu keyakinan yang terlalu kuat bahawa amalannya diterima Tuhan, selain merupakan dosa batin, ia dapat menggelincirkan tauhid seseorang sebab orang tersebut merasa seolah-olah pandangannya sudah sama dengan pandangan Tuhan.
Satu jenis tipuan lagi adalah perasaan tenang dan steady dengan dosa yang dibuat baik dosa lahir mahupun dosa batin. Dia rasa tenang itu kerana dia tahu bahawa Allah Maha Pengasih Maha Penyayang. Mengapa ini disebut satu tipuan?
Memang benar dan tepat bahawa Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tetapi perasaan tenang, steady dan tidak susah hati dengan dosa itu yang salah. Seolah-olah tidak perlu sungguh-sungguh bertaubat atas dosa sebab Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dia yakin Allah akan mengampunkannya walau tidak sungguh-sungguh bertaubat.
Mengampunkan atau tidak itu hak Allah, tetapi memiliki keyakinan ini yang salah bahkan dapat merosakkan tauhid sebab sudah jelas disebut dalam berbagai ayat Quran dan Hadis bahawa Allah murka dan marah kepada hamba-hamba yang berdosa dan tidak sungguh-sungguh bertaubat atas dosa-dosanya. Perkara yang halus dan seni-seni seperti inilah susah untuk difahami kalau kita tidak ada ilmu tasawuf serta tidak dipimpin dan disuluh oleh seorang guru mursyid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan