Khamis, 17 Januari 2013

ISLAM, KRISTIAN & YAHUDI

Islam, Kristian dan Yahudi adalah agama Allah

Kitab Suci Al Quran,Taurat, Zabur atau Injil
Bahawasanya Agama langit disebut dalam istilah Arabnya, al-adyan as-samawiyyah, yang bererti agama-agama langit.Agama langit yang kekal hingga hari ini ada 3. Iatu Yahudi, Kristian dan Islam.
Ia adalah istilah keagamaan yang dirujukkan kepada Allah, yang diturunkan kepada manusia, berasaskan kepada wahyu yang sahih pada mulanya. Ia diturunkan kepada rasul-rasul yang dilantik Allah, untuk menerima dan menyampaikan wahyu tersebut kepada manusia tanpa ditokok dan ditambah.
Mengamal kitab-kitab Allah SWT memang ada perbezaan. Perbezaan dari segi istilah dan nama yang dimaksudkan kepada sesuatu kitab itu. Seperti Kitab Zabur, diturunkan kepada Nabi Allah Daud a.s. disebutkan Allah dalam Surah an-Nisa, ayat 163. Manakala Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Allah Musa a.s. dicatat dalam Surah al-Maaidah, ayat 44.
Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Allah Isa a.s., dinyatakan dalam Surah al-Maaidah, ayat 46 dan al-Quranul Karim diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., disebut dalam Surah al-An’am ayat 19.
Memang nama-nama kitab Allah tersebut berbeza, namun inti pati sebenar daripada kitab itu tidak berbeza. Kitab-kitab itu membawa mesej yang sama dan yang paling asas adalah semua kitab memperkenalkan Allah sebagai Tuhan Yang Sebenar, Yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana yang menjadi pencipta alam ini.
Dia (Allah) sahaja yang wajib disembah. Allah yang sama tidak pernah berubah, maka kerana itu wahyu-Nya pada umumnya tidak berubah pada perkara-perkara pokok. Wajiblah manusia seluruhnya beriman dengan Allah dengan melaksanakan tuntutan yang wujud dalam kitab-kitab tersebut tanpa dirubah dan dipinda.
Seluruh Rasul-Rasul dari Adam a.s hingga kepada Muhammad s.a.w, mengajak manusia beriman kepada Allah Yang Esa, dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya.
Firman Allah (mafhumnya): “Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan (al-Quran) kepadanya, dari Allah, tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya dan Rasul-Rasul-Nya. (Mereka berkata) “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari Rasul-Rasul-Nya. Mereka berkata lagi, “Kami dengar dan kami taat. (Kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 285)
Semua Rasul disebut Rasulullah. Ertinya mereka semua adalah pesuruh Allah yang menerima wahyu dan menyamoaikan kepada manusia supaya sama-sama beriman kepada Allah.
Logiknya, jika semua Nabi dan Rasul dari Allah yang sama, bagaimana mungkin ajaran mereka beoleh berbeza khususnya pada perkara yang asas?
Sudah tentu, semuanya menyeru manusia beriman kepada Allah Yang Esa, percaya dengan kitab Allah yang diperturunkan melalui perantaraan malaikat, iaitu dari Allah mereka datang dan kepada-Nya mereka akan kembali.
Perbezaan yang ketara dan pertelingkahan antara satu sama lain, yang akhirnya nampak bertentangan antara agama lain, disebabkan, utamanya kerana Yahudi menyalahkan Nasrani, Nasrani menyalahkan Yahudi dan kedua-duanya pula menyalahkan Islam.
Islam pula menolak kefahaman yang dianuti oleh Yahudi dan Nasrani kerana tidak berpegang teguh dengan keaslian kitab-kitab Allah. Islam menolak kerana mereka mengubah ayat-ayat suci yang asal dalam kitab mereka.
Apabila agama Allah, khususnya wahyu Ilahi, diubah dan dipinda atau ditukar dan ditokok atas kehendak manusia, khususnya orang beragama di antara mereka, maka rosaklah agama Allah. Ia telah mewujudkan percanggahan antara satu sama lain.
Perihal berlakunya ubah pinda, tokok tambah terhadap agama yang dibawa oleh Rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w., dikhabarkan Allah dalam firmannya (mafhumnya): “Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah Kalamullah (Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata kepada,”kami dengar”, (sedang mereka berkata dalam hati), “kami tidak akan menurut.” (Mereka berkata) “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan) ‘raa’ina’; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutarbelitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata, “kami dengan dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami”, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali dengan iman yang amat tipis.” (Surah an-Nisa, ayat 46)
Perihal tokok tambah dan perubahan yang dilakukan dalam kitab-kitab (agama) terdahulu disebutkan Allah di dalam al-Quran antaranya Surah Maaidah (13 dan 41), al-Baqarah (75) dan banyak ayat-ayat lain.
Oleh kerana itu, maka agama-agama sebelum Muhammad dan kitab-kitab mereka dimansuhkan Allah semuanya dan digantikan dengan al-Quran.
Jika semua sudah kembali kepada al-Quran pastikan kesemuanya akan bersatu pada prinsip yang benar. Pertentangan yang berlaku antara sesama agama Allah, sebenarnya pertentangan bukan pada asas yang benar, tetapi kerana berlaku penyelewengan akibat tidak taat kepada perintah Allah.
Nabi Isa a.s. memberitahu kepada pengikutnya bahawa sebelum beliau, Allah telah menurunkan Taurah dan Zabur. Jika penganut agama samawi boleh menerima Taurat, Zabur dan Injil sebagai kitab Allah, mengapa mereka tidak boleh menerima al-Quran?
Begitu juga mengapa orang Yahudi percaya dan boleh menerima Ibrahim, Musa, Ayub, Ismail dan Yaakub sebagai Nabi, mengapa mereka tidak boleh percaya Isa sebagai Rasul? Begitu juga mereka harus menerima Muhammad sebagai Rasul yang diutuskan Allah.
Inilah pokok yang mustahak untuk kita fahami, bahawasanya perbezaan yang wujud adalah kerana sifat manusia yang mengingkari Allah. Moga moga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita bersama.Waalhua’lam.
(Di petik dari Syarah Prof Datuk Dr Haron Din)

Kalimah Allah Tidak Boleh Ganti Nama Tuhan Kristian (saperti nama ALLAH JESUS)

logo Allah

Maka timbul lah berbagai bagai kenyataan dari para ustaz, ustazah, ilmuwan dan ulama mengenainya.Rata rata mengatakan kalimah Allah boleh di guna oleh non muslim kerana tiada larangan keatasnya.
Namun saya rasa ramai di antara kita telah salah faham dan tersasar dari  ”isu” kalimah Allah yang sebenarnya (yang berlaku di Malaysia).
Pokok perbincangan isu kalimah Allah bukan melibatkan persoalan bolehkah orang bukan Islam menyebut kalimah Allah, akan tetapi berkaitan persoalan bolehkah mereka dibenarkan untuk menamakan tuhan mereka dengan kalimah Allah.
Demikian kenyataan Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni yang melihat isu ini timbul atas desakan pihak Kristian yang mahu menggunakan kalimah Allah menggantikan nama tuhan mereka dalam kitab Injil Bahasa Melayu.
“Isu besar yang berkait dengan maslahah ummah sebenarnya adalah bolehkah orang Kristian menamakan tuhan mereka dengan Allah? Maknanya dalam Bible mereka ada perkataan God, bolehkah God itu ditukar perkataannya kepada Allah. Dalam Bible mereka ada Jesus, ataupun Indonesia dia sebut Yesus, bolehkah itu ditukar perkataannya kepada Allah?
“Bolehkah tuhan mereka yang triniti tu, ditukar perkataannya kepada Allah? Sebab isu ini sebenarnya adalah merupakan satu isu yang timbul hasil daripada permohonan untuk membenarkan Bible menggunakan Allah menggantikan perkataan tuhan dalam Bible.”
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah maghrib tentang isu kalimah Allah di Surau Bangi Perdana Ahad lalu.
Menurutnya, isu pokok ini perlu difahami supaya mana-mana pihak tidak silap membuat kenyataan membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam.
Dalam kuliah tersebut, Ustaz Fauzi menjelaskan dengan terperinci asal-usul nama tuhan orang Kristian dan Allah bukanlah nama tuhan mereka.
Menyentuh kenyataan seorang ahli politik yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam berdasarkan dalil ayat Al-Quran, Ustaz Fauzi menolak pandangan tersebut kerana tidak mengikut kaedah bahasa Arab dan tafsir yang betul.
Sebagai contoh dalam Surah Al-Hajj ayat 40, telah disebut perkataan Allah dalam masjid dan rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan Kristian, namun ketika itu agama tersebut masih belum diseleweng.
“Jadi bila kita tengok tafsir itu, dia sama ada akan diterjemahkan berdasarkan kepada pandangan Ibnu Abbas bahawa nama Allah itu hanya disebut di masjid sahaja, ataupun berdasarkan pandangan ahli tafsir lain yang mengatakan nama Allah itu disebut di semua tempat ibadat itu tetapi tempat ibadat yang disebut dalam Al-Quran itu adalah tempat ibadat sebelum berlakunya penyelewengan agama tersebut.”
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas akhir tahun lalu mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Bible berbahasa Melayu sepertimana yang dibenarkan di Malaysia Timur sejak 50 tahun lalu dan telah digunakan ribuan tahun di Timur Tengah.
Ustaz Fauzi menolak hujah Lim Guan Eng dengan berkata, sekalipun ia telah digunakan sekian lama, namun hukum syarak menolaknya, maka perkara itu perlu ditolak.
“Adakah apa yang berlaku di Sabah Sarawak dan Indonesia itu betul lalu kita kata boleh guna? Jawapannya tidak, sebab di sana ada satu kaedah syarak, al-urful fasid la yughaiyiru haqaiqas syar’ie.
“Maknanya uruf yang rosak tidak akan mengubah hakikat syarak yang merupakan suatu yang ditunjukkan di dalam Al-Quran.
“Mana-mana penggunaan, uruf ataupun kebiasaan tetapi kebiasaan yang merosakkan tetap tidak akan mengubah hakikat syarak. Jadi walaupun telah diamalkan selama 10 kurun tetapi kalau syarak kata tak boleh, maka tetap tak boleh,” jelasnya.
Katanya lagi, memang benar orang Arab Jahiliyah menggunakan kalimah Allah tetapi penggunaan itu merujuk kepada maksud yang sebenar iaitu zat yang Esa berdasarkan dalil Surah Luqman ayat ke-25.
“Dalam konteks ini, mereka berhujah orang Arab dulu guna kalimah Allah, jadi maknanya kita boleh kias orang Kristian pun boleh menggunakan kalimah Allah.
“Arab dulu dia guna kalimah Allah merujuk kepada zat yang tunggal di dalam penciptaan dan mentadbir alam, tetapi mereka mensyirikkan Allah SWT dari sudut hakimiyah dan perundangan.
“Tetapi orang Kristian bukan begitu, bila dia sebut Jesus nak tukar kepada Allah, bila dia sebut God nak tukar kepada Allah, ataupun Lord nak tukar kepada Allah, dia merujuk kepada tuhan yang memang dari awal lagi adalah merupakan triniti.
“Jadi dia nak namakan yang ini Allah. Maknanya kita tak boleh kias penggunaan orang Arab dengan penggunaan orang Kristian sebab digunakan dalam konteks berbeza.”
Ustaz Fauzi yang ditemui wartawan ISMA selepas kuliah tersebut berkata, kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kerana ia merujuk kepada zat yang Esa dan tidak boleh ditafsirkan kepada perkara lain.
“Perkataan Allah itu bukan satu perkataan yang boleh merujuk kepada itu atau ini, tapi telah digunakan oleh orang-orang Islam untuk merujuk kepada zat yang tunggal, yang Esa.
“Jadi tak boleh nak ditafsirkan kepada tafsiran-tafsiran yang lain. Mereka tidak ada hak untuk mengatakan bahawa Allah itu bermaksud sekian sekian.”
Beliau juga meminta semua pihak menyokong fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
“Memang majlis fatwa ketika membuat fatwa tersebut faham tentang implikasi bila digunakan kalimah Allah untuk menggantikan nama-nama tuhan Kristian, berdasarkan pengalaman yang boleh dilihat di Indonesia, Sabah Sarawak dan seumpamanya.
“Sebab itu pada saya fatwa itu adalah merupakan satu fatwa yang memang sepatutnya kita kena sokong.”
Selain Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti Pulau Pinang telah mewartakan 40 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam termasuk kalimah Allah, haji dan masjid.

Elohim nama sebenar tuhan kristian, bukan ALLAH

Elohim nama tuhan kristian
Seorang paderi dari Indonesia, Jahja Iskandar mengakui bahawa kalimah Allah adalah khas untuk umat Islam.
Perkara itu didedahkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang merujuk kepada perakuan di dalam buku tulisan paderi tersebut iaitu Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular.
Katanya, berdasarkan buku itu, Jahja memberitahu bahawa kata yang tepat bagi nama Tuhan sembahan orang Kristian berasaskan bahasa asli perjanjian lama, iaitu Ibrani (bahasa digunakan orang Yahudi) ialah Elohim.
Menurut Wan Zahidi, jika diterjemah ke bahasa Arab, maka kata yang tepat bagi menggantikan Elohim ialah Ilah bukan Allah, berasaskan terjemahan paling awal ke bahasa Arab iaitu Inskripsi Zabad pada tahun 512.
“Sehubungan itu, Yayasan Lentera Bangsa yang diasaskan oleh Jahja telah menerbitkan kitab suci Indonesia Literal Translation (KS-ILT) yang mana terjemahan itu tidak lagi tertera kalimah Allah, sebaliknya menggunakan Elohim sebagai nama sembahan orang Kristian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan