Berikut adalah kedudukan peserta setelah talian undian ditutup:
1. JOZAN- 22%
2. JAMBU - 20%
3. SHIRO - 20%
4. SAYWHO - 19%
5. BOBOI - 19%
Maharaja lawak Mega 2012 yang di hoskan oleh AC Mizal bersiaran langsung di Astro Warna 132 , Astro On The Go dan Mustika HD yang diadakan di Stadium Tertutup MBJB , Johor pada hari Jumaat, 18 Januari 2013 jam 10 malam.
Selepas sembilan minggu bertanding, gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012) menjadi milik kumpulan Jozan yang dianggotai Johan dan Zizan apabila mereka diumumkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB), di sini malam Jumaat.
Kemenangan Jozan melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi sumbangan Astro. Dalam pada itu, Johan yang sebelum ini tidak dapat menyertai pertandingan berkenaan sejak dua minggu lalu akibat kecederaan ligamen membuat kejutan apabila muncul pada persembahan pusingan pertama.
Kemunculan Johan telah menggamatkan stadium yang dihadiri oleh hampir 5,000 penonton. Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jambu yang disertai oleh Yus dan Tauke. Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.
Sementara itu kumpulan Shiro (Shahrol & Ajak) mendapat tempat ketiga dan mereka menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi.
Bagaimanapun Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik & Nabil) yang pernah bergelar naib juara MLM 2011 sebelum ini terpaksa akur dengan kedudukan di tangga keempat.
Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi. Manakala kumpulan tunggal dari Indonesia iaitu Saywho (Eko, Bocil & Vicha) berada di tempat kelima. Mereka mendapat hadiah iaitu wang tunai RM15,000 berserta trofi.
Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal. Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri tetap dan selebihnya undian penonton di rumah.
Empat juri tetap yang mengadili peserta pada MLM2012 akhir itu terdiri daripada Awie, Wulan Guritno, Najib Ali dan Lisa Surihani.
Sementara itu mengulas kemenangan mereka, Jozan berkata, ia adalah rezeki buat mereka berdua dan tidak pernah meletakkan harapan untuk menang. Bagaimanapun ia adakan berkat sokongan para peminat yang sentiasa menjadi pendorong untuk mereka memberikan persembahan mantap pada setiap minggu.
"Tanpa peminat yang tidak jemu memberikan sokongan kejayaan ini tidak akan bererti dan kemenangan ini adalah untuk mereka semua," jelasnya ketika ditemui selepas acara itu.
Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh bersama Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani dan Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan