Rabu, 16 Januari 2013

JIN, IBLIS & SYAITAN



KETIGA-TIGA makhluk ini ciptaan Allah SWT yang berurusan untuk mengganggu serta menyesatkan manusia. Ia dicipta daripada api seperti termaktub dalam al-Quran melalui firman bermaksud: "Dan Dia menciptakan jin dari api." (Surah Ar-Rahman 55:15).

Mereka diberi keizinan Allah untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya kamu (wahai iblis) diberi tangguh untuk mengganggu anak Adam hingga hari yang telah ditentukan waktunya ( hari kiamat)." (Surah Sad 38:81).

Hakikatnya mereka berasal dari satu golongan kerana al-Quran juga menggunakan istilah jin, iblis dan syaitan. Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya pernah mentafsirkan jin dengan makna iblis. Al-Quran menjelaskan ia asalnya kelompok malaikat (mengikut setengah tafsiran) yang ingkar perintah Allah.

Kebanyakan ulama tafsir menyatakan iblis adalah bapa kepada semua jin dan syaitan. Ia juga terdiri daripada yang beriman dan kafir. Ia tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar manusia. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya dia (syaitan) dan kuncunya dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka." (Surah Al-A'raf 7:27 ).

Ada pendapat mengatakan iblis dan syaitan berasal daripada golongan jin yang ingkar perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam. Dikatakan bahawa Jin Afrit adalah yang paling aktif dan ce
rdik seperti sejarah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis dari Yaman.

Makhluk ini mampu menjelma dalam bentuk tertentu seperti sabda Rasulullah bermaksud: "Jin ada tiga golongan, bersayap dan mampu terbang di udara, berupa benda melata seperti ular dan sebagainya, berwajah cantik dan mengilai." (Hadis riwayat Hakim dengan sanad sahih).

Hadis daripada Aishah diriwayatkan Muslim, mengatakan anjing hitam adalah jelmaan syaitan. Begitu juga kucing dan keldai hitam kerana warna hitam adalah himpunan kekuatan bagi syaitan dan tenaga tambahan bagi mereka.

Tetapi bukan bermakna semua anjing, kucing dan kaldai hitam adalah syaitan kerana maksud ungkapan Rasulullah adalah gambaran kepada warna yang buruk dan kurang faedahnya bagi binatang itu. (Dr Abd Wahab Abd Ati Abdullah � Rektor Universiti Al-Azhar).

Perbezaan Antara Jin, Syaitan dan Iblis

Nama Jin, Syaitan dan Iblis itu kadangkala mengelirukan kerana sifat kaumnya,mereka juga berasal dari satu golongan akan tetapi setiap satunya memiliki perbezaan dari segi maksudnya.

Jin

Di dalam Al Quran, Allah SWT ada menyebut beberapa kali mengenai jin, sehinggakan ada surah yang khusus untuk bangsa ini iaitu Al-Jin.

Jin diciptakan oleh Allah SWT dari api.
Allah SWT menerangkan bahawa jin itu diciptakan daripada api yang sangat panas, juga disebutkan terbuat daripada nyala api.

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum daripada api yang sangat panas.(Surah Al-Hijr 15:27)
Dan Dia menciptakan jin daripada nyala api.(Surah Ar-Rahman 55:15)

Jin ada yang muslim dan ada yang tidak.

Jin adalah satu bangsa, seperti manusia juga. Jika manusia ada yang muslim dan ada yang kafir. Jin pun ada yang muslim dan ada yang kafir.

Allah SWT berfirman menerusi ayat berikut:

Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. (Surah Al-Jin 72:11)

Contoh jin muslim adalah jin yang menjadi tentara Nabi Sulaiman AS. Sebagaimana diterangkan di dalam Al-Quran:

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum dari api yang sangat panas. (Surah An-Naml 27:17)

Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair daripada tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian daripada jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa daripada jin itu yang menyeleweng daripada perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka. (Surah Saba' 34:12)

Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang seperti kolam dan periuk yang tetap. Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur. Dan sedikit sekali daripada hamba-hambaKu yang berterima kasih. (Surah Saba' 34:13)

Syaitan

Menurut Al-Quran, syaitan adalah makhluk yang kerjanya mengajak manusia berbuat jahat dan berbohong, mengajak kepada perbuatan keji.

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Surah Al-Baqarah 2:169)

Allah SWT telah menegaskan bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia:
"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (Surah Al-Baqarah 2:208)

Memberi Janji dan Angan-angan Kosong.

Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain daripada tipuan belaka. (Surah An-Nisa 4:120)

Manusia pun ada yang Syaitan juga.

Namun Syaitan itu tidak terbatas kepada jenis makhluk halus/jin sahaja, melainkan manusia pun ada yang dikategorikan sebagai syaitan. Dan Al-Quran juga menyebut-nyebut tentang manusia yang menjadi syaitan itu:

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu. Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan. (Surah Al-Anam 6:112)

Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan ke dalam dada manusia, dari jin dan manusia. (Surah An-Naas 114:1-6)


Antara peranan jahat syaitan ialah:

* Mencipta permusuhan antara manusia. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu." (Surah Al-Maidah 5:91).

* Menghilangkan pertimbangan akal yang waras. Sabda Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah kerana perasaan itu adalah datang daripada syaitan."

* Tamak dan hasad dengki. Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh di atas bahteranya: "Dua perkara yang akan merosakkan manusia disebabkan iblis, dengki dan tamak." (Ibnu Jauzi).

* Mencipta bibit perpecahan sesama umat Islam. Dari sahabat bernama Jabir bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya iblis putus asa terhadap orang yang solat tetapi ia mampu memecahbelahkan perpaduan mereka." (Hadis riwayat Bukhari).

Memesongkan akidah umat Islam. Firman Allah bermaksud: "Dan syaitan berusaha untuk menyesatkan umat Islam dengan kesesatan yang amat jauh." (Surah An-Nisa' 4:60).

* Menyeru kepada kejahatan. Menghalal serta mengharamkan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan.Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan mengatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahuinya." (Surah Al-Baqarah 2:169).

Menjauhkan manusia daripada mengingati Allah. Firman Allah bermaksud: "Sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah maka syaitan adalah teman yang selalu bersamanya." (Surah Az-Zukhruf 43:36).

Mencipta perbalahan dalam agama. Firman Allah bermaksud: "Ada di kalangan manusia yang membantah mengenai agama Allah tanpa ilmu dan mengikut setiap syaitan yang jahat." (Surah Al-Haj 22:3).


Iblis

Sedangkan Iblis adalah makhluk derhaka yang jenisnya adalah jin, bukan jenis manusia. Al-Quran secara tegas menyebutkan bahwa Iblis itu adalah daripada jenis jin.

Dan ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim. (Surah Al-Kahfi 18:50)

Jadi boleh dikatakan bahawa Iblis itu adalah seorang oknum yang berjenis jin. Dialah dahulu jin yang paling dekat dengan Allah SWT, lalu berubah menjadi ingkar lantaran tidak mahu diperintahkan untuk bersujud kepada Adam, manusia pertama.

Dan ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. (Surah Al-Baqarah 2:34)

Motivasi yang menghalangi si Iblis itu untuk sujud kepada Adam tidak lain adalah sifat sombong dan riak. Dia merasa dirinya jauh lebih baik daripada Adam. Allah berfirman:
"Apakah yang menghalangimu untuk bersujud pada waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis, "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah." (Surah Al-Araf 7:12)

Ciri yang paling utama daripada Iblis adalah dia kekal hidup hingga ke hari kiamat. Dan penangguhan usianya itu memang telah diberikan oleh Allah SWT.

Iblis menjawab, "Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan." Allah berfirman, "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh." (Surah Al-Araf 7:14-15)

Jadi iblis adalah nama seorang jin yang hidup pada masa penciptaan Adam AS. dan tidak mati-mati sampai ke hari ini. Iblis adalah nenek moyang syaitan yang juga mempunyai keturunan, namun keturunannya itu tidak mendapatkan jaminan untuk hidup sampai kiamat. Dan sebagai bangsa jin, ada antara keturunannya itu yang mati. Meski barangkali usianya berbeza dengan rata-rata manusia. Tetapi tetap akan mati juga. Kecuali nenek moyang mereka iaitu Iblis.

Justeru, sesiapa yang ingkar mengenai kewujudan jin,syaitan,iblis dan keturunannya adalah kafir kerana menolak apa yang terdapat dalam al-Quran daripada nas yang jelas.

Wallahu Taala A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan